Thursday, April 16, 2015

Andai

Andai cinta ini
yang telah membuat kau mati
aku tidak akan pernah maafi hati ku lagi

andai cinta ini
yang telah membunuh mu
aku tidak akan pernah jemu mengutuk diri ku

dan andai cinta ini satu kesalahan
maafkanlah aku sayang
kerana terlanjur menuruti perasaan
dan percayalah 
aku sedang menderitai hukuman
merindui mu sepanjang zaman.


Wednesday, March 11, 2015

Kali Pertama dan Terakhir

Kali pertama kita bertemu
kau terbaring lesu
dengan mata yang layu
kau diam membisu

ingin sekali ku genggam jemari mu
saat berderai tawa mu tanpa perlu
saat bergenang air jernih di bibir mata mu
merenung masa depan kelabu

namun aku hanya mampu
memandang kaku jemari mu
yang belum halal bagi ku

dan itulah kali terakhir kita bertemu
bila kau tepati janji mu
berlalu dari dunia penuh liku dan debu.


Friday, February 6, 2015

Rindu

Kau takkan pernah tahu
betapa besarnya rindu
yang membuku di kalbu
kerna yang tahu rahsia itu
hanya aku
dan pemilik mutlak hati ku
Tuhan yang satu.

Thursday, January 29, 2015

Anak Muda Belia

Anak-anak muda belia
tubuh penuh tenaga
dada sarat cita-cita
minda padat idea
ikhlas berjasa
mengejar redha-Nya

cemburu aku melihat mereka
masih kurang dosanya
masih lurus niatnya
masih suci dari noda dunia

anak-anak muda belia
moga kalian sentiasa ada
dalam rahmat dan lindungan-Nya.

Monday, January 26, 2015

Jangan Kerana

Pelajar ku
jangan kerana benci pada tugasan mu
yang mengganggu masa senggang dan tidur mu
buat kamu jatuh benci pada guru mu
buat kamu jatuh benci pada ilmu.

Dan aku guru
jangan kerana rasa takbur dan ego ku
menghakim pelajar semahu ku
buat pelajar ku langsung membenci guru
buat pelajar ku langsung membenci ilmu.

Tika pelajar mula menghina ilmu dan gedungnya
moga masih wujud nilai sarjana dan kehormatannya.

Friday, January 23, 2015

Tentang Kita

Duhai penuntun hati
apakah kau juga sedari
cerita kita ini
ibarat cinta mentari dan bumi?

walau jiwa saling mendamba
namun tidak kan bisa bersama
mendekat malah membinasa
menjauh juga membinasa

lalu harus bagaimana merai cinta?

selamanya
setialah membahagia
agar tiada yang terluka
kerana yang sebenarnya cinta
tidak kan sekali pun membinasa
walau hidup cuma memendam rasa.

Friday, January 16, 2015

Masihkah

Masihkah ada tempat untuk ku
di sisi Mu Tuhan
ketika aku selalu saja berlebih-lebihan
belebihan dalam meminta
berlebihan dalam berdosa
namun tidak pula
berlebihan dalam usaha
mengumpul jasa dan pahala

ampunkan aku Tuhan
ampunkan aku Tuhan
ampunkan aku Tuhan

aku tidak mahu sesat jalan pulang.

Thursday, January 15, 2015

Bertahan demi Tuhan

walau dunia penuh kezaliman
walau ekonomi bakal tumbang
walau kau hilang punca puncarian
walau cinta tak kesampaian
walau hidup berantakan
selagi nyawa dikandung badan
mahu tidak mahu
hidup mesti kau teruskan
demi Tuhan
kerana kau ada Tuhan
kerana kau hidup berTuhan.

Thursday, September 25, 2014

Dejavu (3)

Dejavu
tolong…
biarkan saja aku 
di situ
jangan belenggu aku 
dengan hati beku 
dan rindu palsu mu.

Sunday, August 3, 2014

Mak (2)

Dia 
yang mengajar kami
terus senyum
walau semangat merudum
terus ketawa
walau jiwa sengsara
terus setia
walau hati kecewa
dan terus cekal
dengan solat dan tawakal

terima kasih Tuhan
kerana kurniakan kami
mak yang penyayang 
dan berjiwa kental.

Tuesday, July 8, 2014

He Knows

For every tears that people don't see
for every word that people don't get
for every effort that people don't appreciate
for every good intention that people don't understand
for every contribution that people don't recognize
for your existence that people don't realize

don't be sad
don't be upset
coz you have Allah
He knows you
He knows best.

Saturday, June 14, 2014

Rutin

Semester baru menjelang
masa senggang berkurang
rutin berulang

gagahlah ke medan juang
walau tak keruan
moga doa diperkenan
usaha bakti diredhai Tuhan.

Wednesday, June 11, 2014

Dejavu (2)

Dejavu
pergilah...

mata ku sudah bengkak
menangisi kamu
kenapa entah

jangan tunggu
pergilah...

Tuesday, March 11, 2014

You

Year after year
yet I still remember 
what you said that created laughter
in front of the computer

and I still remember
the following quotes
you wrote in a letter
well kept in a folder
locked in the heart of an admirer

it's the 3rd anniversary of your journey
you brought my heart my thought together

May Allah bless you my dear…

"Follow your heart, but take your brain with you."

Monday, December 23, 2013

Sabar Je La...

Jika masih ada 
buku-buku yang belum kau khatam
dan tugasan-tugasan yang belum kau sudahkan
dan tugasan-tugasan yang bakal mendatang
dan rencana dengan adik-adik dan teman-teman
juga agenda bersama ibu dan keluarga
di kampung halaman
maka jawablah 
dengan hanya semanis-manis senyuman
bila ada yang bertanya,
"ko tak sunyi ke hidup sengsorang?"

Wednesday, August 28, 2013

The Shakespeare's Night

Malam itu
bagai dejavu
mengulit tidur ku
mengusir sunyi ku
bukan mudah ku mimpi yang indah-indah
pada kala gundah
maka itu
ku layan dan senyum sajalah.

Saturday, May 11, 2013

Puisi Inde

Menghadam sebuku puisi inde
nukilan pelajarku Zuhairah Zamri

lenalah tidurku malam ini 
kekenyangan diulit bait2 berseni
yang membawa aku pulang pada kenangan
hari-hari berteman tidak keseorangan.

Tuesday, April 16, 2013

Pilihanraya Tanpa Dia

Kempen pilihanraya mula bergema
juga perang poster
dan bendera pelbagai warna
namun
yang sangat jelas aku rasai 
pesta mengundi kali ini
dan yang akan datang nanti
terlalu sunyi terlalu sepi
tanpa tulisan dan ulasan
tanpa diskusi dan komentar
di blog juga di laman sosial
tanpa si empunya diri
yang telah pergi bertemu Ilahi.

Saturday, November 17, 2012