Thursday, January 29, 2015

Anak Muda Belia

Anak-anak muda belia
tubuh penuh tenaga
dada sarat cita-cita
minda padat idea
ikhlas berjasa
mengejar redha-Nya

cemburu aku melihat mereka
masih kurang dosanya
masih lurus niatnya
masih suci dari noda dunia

anak-anak muda belia
moga kalian sentiasa ada
dalam rahmat dan lindungan-Nya.

Monday, January 26, 2015

Jangan Kerana

Pelajar ku
jangan kerana benci pada tugasan mu
yang mengganggu masa senggang dan tidur mu
buat kamu jatuh benci pada guru mu
buat kamu jatuh benci pada ilmu.

Dan aku guru
jangan kerana rasa takbur dan ego ku
menghakim pelajar semahu ku
buat pelajar ku langsung membenci guru
buat pelajar ku langsung membenci ilmu.

Tika pelajar mula menghina ilmu dan gedungnya
moga masih wujud nilai sarjana dan kehormatannya.

Friday, January 23, 2015

Tentang Kita

Duhai penuntun hati
apakah kau juga sedari
cerita kita ini
ibarat cinta mentari dan bumi?

walau jiwa saling mendamba
namun tidak kan bisa bersama
mendekat malah membinasa
menjauh juga membinasa

lalu harus bagaimana merai cinta?

selamanya
setialah membahagia
agar tiada yang terluka
kerana yang sebenarnya cinta
tidak kan sekali pun membinasa
walau hidup cuma memendam rasa.

Friday, January 16, 2015

Masihkah

Masihkah ada tempat untuk ku
di sisi Mu Tuhan
ketika aku selalu saja berlebih-lebihan
belebihan dalam meminta
berlebihan dalam berdosa
namun tidak pula
berlebihan dalam usaha
mengumpul jasa dan pahala

ampunkan aku Tuhan
ampunkan aku Tuhan
ampunkan aku Tuhan

aku tidak mahu sesat jalan pulang.

Thursday, January 15, 2015

Bertahan demi Tuhan

walau dunia penuh kezaliman
walau ekonomi bakal tumbang
walau kau hilang punca puncarian
walau cinta tak kesampaian
walau hidup berantakan
selagi nyawa dikandung badan
mahu tidak mahu
hidup mesti kau teruskan
demi Tuhan
kerana kau ada Tuhan
kerana kau hidup berTuhan.